Showing posts with label Ilmu-ilmu Islam. Show all posts
Showing posts with label Ilmu-ilmu Islam. Show all posts

Mengisi waktu lapang dalam cuti semestar, rasa seronok bilamana dapat diisi dengan ilmu yang bermanfaat, lagi pula ilmu yang bukan dalam bidang pengkhususan yang saya pelajari di kuliah. Dengan bantuan ayah (Guru saya), dan melihat masa yang ada padanya, maklumla dirinya yang amat saya fahami kesibukannya, boleh memperuntukkan masanya seketika untuk saya memahami dan mempelajari satu Hadith dalam satu minggu. Hadith yang ingin saya kongsikan hari ini ialah:

"البينة على المدعي, واليمين على من أنكر"

( Riwayat al-Jamaah [Jumhur Ulama] )

Maksudnya:

“Bermula saksi itu atas yang berdiri da’wa (Pengadu) dan bermula sumpah itu atas mereka yang Engkar”

Hadith diatas disepakati oleh para Ulama’, boleh digunakan dan boleh dibuat Hujjah.

Bilamana kita melihat maksud Hadith diatas mungkin sukar untuk difahami dan Hadith ini saya ruju’ dalam kitab “Tahzibul Atraful Hadith yang pertama” m/s 115 dengan bantuan ayah untuk menerangkan maksud Hadith kepada saya.

Keterangannya, Orang yang mengadu (pengadu) hendaklah membawa saksi bilama ia menuduh seseorang melakukan sesuatu perkara. Bagi orang yang kena tuduh, jika dia tidak melakukan perbuatan itu, seharusnya dia bersumpah.

Saya datangkan dua kes yang kita boleh fikirkan bersama.

Kes 1:

Kes Dato’ Sri Anuar Ibrahim dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes Liwat. Pengadu (Saiful) dan dituduh (Anuar Ibrahim). Sesiapa yang mengikuti kes ini pasti mengetahui bahawa Saudara Saiful telah bersumpah mengatakan bahawa Anuar Ibrahim telah meliwat beliau. Tetapi ini adalah menyalahi kaedah Islam sendiri.

Seharusnya, Orang yang kena tuduh (Anuar Ibrahim) yang perlu bersumpah jika beliau tidak melakukan perbuatan itu. Dan Saiful (pengadu) seharusnya membawa saksi yang menyaksikan kejadian itu jika benar Anuar Ibrahim meliwatnya.

Dalam kes ini, Saiful telah pun bersumpah. Sama ada tuduhannya pada Anuar Ibrahim betul atau tidak, wallahua’lam. Tetapi, ingatlah Allah Maha Kuasa. Sumpah boleh memakan diri sendiri, lebih-lebih lagi jika DENGAN NAMA ALLAH.

Kes 2:

Sifulan telah dituduh mencuri buku oleh seorang pekerja kedai di sebuah kedai buku walhal dia tidak mengambilnya. Bagaimana Hadith diatas boleh dibuat Hujjah untuk menentukan bahawa sifulan tidak bersalah?

Mudah sahaja. Sifulan minta pekerja tadi untuk datangkan saksi bahawa dia telah mencuri buku tesebut dan seterusnya sifulan bersumpah bahawa dia tidak mengambil buku itu. Jika pekerja tadi tidak datangkan saksi, tidak ada kebenaran pada tuduhan tersebut.

Walaubagaimanapun, sesuatu perkara itu kita harus selidiki kebenarannya terlebih dahulu, sebelum menuduh tanpa bukti. Dan ingatlah, dengan ilmu kita boleh berhujah. Islam ada kaedahnya.

Wallahua’lam.


Bertitik tolak daripada zaman kehidupan Baginda Rasulullah saw, sejarah yang telah ditinggalkan berkurun lamanya, tetapi ibrah dan pengajaran yang ada padanya amat bermakna bagi siapa yang mengenal apa itu SEJARAH. Sejarah Baginda yang penuh dengan perjuangan untuk menyebarkan Islam kepada semua umat manusia. Maka, sampai pada kita hari ini agama Islam yang satu-satunya agama yang dirahmati Allah.

Jika kita teliti satu persatu sejarah Baginda, kehidupannya penuh dengan keunikan yang boleh dicontohi dari mula kelahiran sehingga kewafatan Baginda. Satu contoh yang boleh kita ambil pengajaran daripada peperangan Uhud. Perang Uhud merupakan peperangan kedua yang berlaku dalam sejarah Islam pada tahun ke-3 hijrah di pinggir bukit uhud. Peperangan ini diketuai oleh Nabi Muhammad saw sendiri dan ketua Qurais diketuai oleh Abu Sufyan bin Harb. Punca peperangan ini tercetus daripada perasaan dendam orang-orang Qurais terhadap kekalahan mereka dalam peperangan Badar.

Dengan berbekalkan 1000 tentera Islam dikalangan Khazraj, Aus dan Muhajiirin, Baginda keluar untuk berperang diluar kota Madinah setelah majoriti bersuara untuk tidak bertahan di dalam kota sahaja. Dalam perjalanan, Abdullah bin Ubai bersama 300 pengikutnya pulang ke kota kerana beliau yakin pertempuran ini akan membawa kekalahan. Manakala kaum Qurais bertindak dengan pasukan tenteranya seramai 3000 orang.

Dengan baki 700 tentera dari pihak Islam, Raslullah saw bangkit bersama mereka yang lain untuk berperang. Akhirnya, pihak Qurais menang disebabkan kelalaian tentera pemanah Islam yang turun daripada bukit uhud untuk mengambil harta rampasan perang.

Ibrah dan pengajaran yang boleh kita ambil daripada sejarah ini sebagai seorang gerakan Islam ialah:

1) Tidak membantah apa yang dikatakan pemimpin. Boleh jadi, apa yang disuarakan itu telah ditimbang balik keseluruhannya. Tetapi sebagai seorang ahli, idea yang terlintas pada fikiran boleh dikongsi bersama, mungkin ada manfaat padanya.

2) Perlu adanya strategi dalam melaksanakan sesuatu program atau aktiviti. Dalam pada itu, kerjasama dari semua pihak perlu, usaha, doa dan akhirnya tawakal kerana Allah swt yang menentukan keberkesanan dan kejayaan sesuatu perlaksanaan.

Firman Allah dalam surah Hud:
Maksudnya:

"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan dunia dan perhiasannya (tanpa mengira halal dan haram), maka kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batallah apa yang telah mereka kerjakan"

3) Menyedarkan kepada kita, bahayanya pengaruh kebendaan dalam diri pejuang Islam yang boleh menyebabkan kita bakal ditimpa dengan kekalahan. Oleh itu, bersederhanalah dalam setiap segi kerana Rasulullah pernah bersabda mafhumnya " Sebaik-baik pekerjaan itu adalah ditengah-tengah"

Untuk akhirnya, selamilah apa jua mengenai Sejarah. Sama ada Sejarah Tamadun Dunia, Sejarah Tamadun Islam, tokoh-tokoh Islam terdahulu, dan sebagainya. Ambillah ibrah didalamnya agar kita boleh jadikan panduan untuk diri kita dan sumbangankan pada masyarakat untuk dipraktikkan.

Wallahua'lam

;;