Disebalik tajuk ini banyak yang kita fikirkan. Tetapi apa yang ingin saya ketengahkan adalah nilai dalam membentuk keluarga Islam.

Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat satu meksudnya:

“ Wahai manusia bertaqwalah kepada tuhanMu yang menciptakan kamu dari seorang manusia (Nabi Adam A.S) dan daripadanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Bertaqwalah kepada Allah yang dengan mempergunakan namaNYA kamu saling meminta antara satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu”

Syed Abu Hasan Ali Nadawi menjelaskan asasnya pembinaan keluarga Islam perlu wujudnya perasaan kasih dan sifat saling percaya. Jika tidak akan hancurnya rumahtangga yang diambil alih oleh sifat kepentingan diri dan syahwat. Maka, segalanya akan menjadi tidak betul. Bilamana wujudnya perasaan simpati dan kasih sayang antara kedua belah pihak, kemiskinan dan kelaparan dapat diatasi oleh ketenteraman disebabkan kesediaan hati untuk berkongsi perasaan sama ada pahit atau manis. Di Barat, terdapat segala kekayaan, penemuan saintifik dan ketinggian ilmu tetapi hati-hati itu tidak merasai ketenangan dan kepuasan. Mereka tidak mampu menjadikan rumahtangga mereka sebagai syurga.

Seperti kata Iqbal:

“Ia mencari orbit Bintang tetapi tidak dapat menyelami dunia pemikirannya”

Bagaimana membina rumahtangga bahagia?

Maksud Hadis daripada Rasulullah saw:

“Kebahagian bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga. Maka diantara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik”

Dari sudut pergerakan Islam, ketiga-tiga ini amat penting dalam kelancaran pergerakan dan memainkan peranan yang amat penting sekali. Kegagalan isteri untuk berfungsi sebagai isteri yang solehah boleh memberi kesan negetif kepada para suami yang terdiri daripada para Da’ie. Begitu juga rumah dan kenderaan yang tidak baik boleh melambatkan atau menghalang dari terlaksananya program-program Islam. Tidak adanya isteri solehah, maka keluarga-keluarga Islam tidak akan dapat diwujudkan. Sedangkan pembinaan dan terbentuknya pergerakan Islam itu bergantung kepada kelahiran keluarga-keluarga Islam ini. Sekiranya pergerakan Islam itu penting untuk membawa dan mempraktikkan Islam maka isteri solehah juga sama pentingnya.

Selain itu, tidak dapat dinafikan isteri yang solehah ini adalah sebagai penyejuk mata dan penawar hati dikala banyak masalah dan ujian yang datang. Begitu juga, perbahasan ilmu-ilmu agama dan saling memberikan pandangan memberikan satu roh kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Imam Nawawi memberi pandangan:

"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu"

Oleh yang demikian, usaha kita untuk memelihara cinta daripada awal perlu bagi menjamin cinta yang kukuh pada masa akan datang. Carilah cinta Allah, nescaya dikau akan perolehi cinta manusia.

Wallahua’lam.

0 Comments:

Post a Comment